Mengapa tidak boleh campur madzhab

Mengapa Tidak Boleh Campur Mazhab?

Talfiq bermakna “melipat”, namun pada istilah syar’i bermakna mencampuradukkan pendapat seorang ulama dengan pendapat ulama lain. Sedangkan tidak seorang pun dari mereka yang membenarkan perbuatan yang dilakukan tersebut.

Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi mengatakan:

“(Syarat kelima dari taqlid) adalah tidak talfiq, iaitu tidak mencampurkan di antara dua pendapat di dalam satu qadliyah (masalah), sama ada sejak dari awal, pertengahan dan seterusnya. Akibatnya nanti dua pendapat itu akan menimbulkan satu amaliyah yang tak pernah disebutkan oleh orang yang menyatakan pendapat tersebut.” (Tanwir al-Qulub, 397)

Ini menunjukkan bahawa talfiq adalah melakukan suatu perbuatan atas dasar hukum yang merupakan gabungan dua mazhab atau lebih.

Contoh seperti berikut:

a) Seseorang berwudhu’ menurut mazhab Syafi’i dengan menyapu atau mengusap sebahagian (kurang dari seperempat) kepala. Selepas itu dia menyentuh kulit wanita ajnabiyyah (bukan mahramnya), kemudian terus bersolat dengan mengikuti Mazhab Hanafi yang berpendapat bahawa menyentuh wanita ajnabiyyah tidak membatalkan wudhu’.

Perbuatan seperti ini disebut talfiq, karana mencampuradukkan pendapat Imam Syafi’i dan Hanafi dalam masalah wudhu’. Hasilnya, kedua-dua Imam tersebut sama-sama tidak mengakui bahwa gabungan itu merupakan pendapat mereka. Ini adalah kerana, Imam Syafi’I berpendapat batal wudhu’ seseorang yang menyentuh kulit wanita yang bukan mahram (Ajnabiyah). Sedangkan dalam masa yang sama Imam Hanafi tidak mengesahkan wudhu’ seseorang yang hanya mengusap sebahagian kepala.

b. Seseorang berwudhu’ dengan menyapu sebahagian kepala, atau tidak menggosok anggota wudhu’ karena mengikuti mazhab Imam Syafi’i. Kemudiannya dia menyentuh anjing, karena mengikut Mazhab Imam Malik yang mengatakan bahwa anjing adalah suci. Ketika dia solat, maka kedua-dua imam tersebut tentunya sama-sama akan membatalkannya. Sebabnya menurut Mazhab Maliki wudhu’ itu hendaklah dengan mengusap atau menyapu seluruh kepala dan juga dengan mengosok anggota wudhu’. Berwudu’ cara Imam Syafi’i, menurut Imam Malik adalah tidak sah.

Demikian juga anjing menurut Imam Syafi’i termasuk najis mughallazhah (najis yang berat). Maka ketika menyentuh anjing lalu bersolat, maka solatnya tidak sah. Sebab berlaku demikian kerana kedua imam itu tidak menganggap sah solat yang dilaksanakan dengan cara tersebut.

Talfiq seperti ini dilarang di dalam agama sebagaimana yang tersebut di dalam kitab I’anah al-Thalibin:

“Talfiq dalam satu masalah itu dilarang, seperti mengikuti Imam Malik dalam sucinya anjing dan ikut Imam Syafi’i dalam bolehnya mengusap sebahagian kepala untuk mengerjakan solat.” (I’anah al-Thalibin, juz 1, hal 17)

Perkara ini dilarang kerana dibimbangi akan terjadi “tatabbu’ al-rukhash” (mencari yang mudah) di dalam beramal. Ini juga agar umat tidak mengambil jalan meringan-ringankan hukum dan agar tidak bersifat “tala’ub” (main-main) di dalam hukum agama.

Sebenarnya larangan talfiq bukan untuk mengekang kebebasan umat Islam untuk memilih mazhab. Ianya juga bukanlah merestui sikap pembelaan dan fanatik terhadap mazhab tertentu namun ianya lebih kepada menjaga kebebasan bermazhab agar tidak disalahfahami oleh sesetengah golongan.

Untuk menghindari amalan talfiq yang dilarang ini, maka perlulah ada satu penetapan hukum dengan memilih salah satu mazhab dari ‘mazahib al-arba’ah’ yang sesuai dengan keadaan dan suasana di tempat kita.

Wallahualam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar